KAMPUNG Kacang Putih yang terletak di Buntong, Ipoh, Perak sebenarnya bukanlah penempatan asal pengusaha kacang putih tersebut. Kebanyakan penduduk perkampungan itu berasal dari kaki Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. Lokasi asal perkampungan tersebut kini berhampiran dengan Kuil Sri Subramaniar yang merupakan tumpuan utama penganut Hindu di Perak meraikan perayaan Thaipusam setiap tahun.

Majoriti mereka yang berhijrah dari India dipercayai menjalankan perniagaan kacang putih secara kecil-kecilan setelah menetap di kaki gunung batu kapur berkenaan sejak abad ke-19. Namun dalam satu kejadian malang pada 18 Oktober 1973, perkampungan yang dihuni kira-kira 14 keluarga itu lenyap begitu saja apabila dihempap bongkah-bongkah batu kapur yang runtuh gara-gara hujan lebat. Dalam kejadian yang menggemparkan pada kira-kira pukul 7 malam itu, kira-kira 40 penduduk kampung terbabit terbunuh. Hanya kira-kira 20 mangsa terbabit dijumpai semetara yang lain masih terperangkap di dalam runtuhan bongkah batu kapur terbabit sehingga hari ini. Ia kerana pasukan penyelamat terpaksa memutuskan untuk menghentikan operasi mencari saki-baki mangsa berkenaan ekoran faktor geografi dan keselamatan.

Oleh itu, kekallah kawasan berkenaan menjadi 'tanah perkuburan tak bernisan' sehingga sekarang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ipoh (MPI) pada masa itu, Datuk S.P. Seenivasagam pernah mencadangkan kawasan itu diabadikan menjadi taman peringatan namun selepas 34 tahun berlalu masih tiada usaha untuk merealisasikan cadangan itu. Kerajaan Negeri Perak yang ketika itu dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa telah menganugerahkan sebidang tanah di Buntong, Ipoh, Perak yang terletak lebih kurang lima kilometer dari tempat kejadian sebagai tanda simpati kepada mangsa. Di penempatan baru itu, penduduk yang terselamat meneruskan perniagaan kacang putih dengan penghasilan produk kacang putih seperti kacang santong, vadei, pakoda, kacang hijau dan murukku yang telah diwarisi secara turun-temurun. Oleh kerana hampir semua keluarga yang memulakan hidup baru berkenaan terlibat dalam industri kacang putih, mereka kemudiannya bersepakat menamakan perkampungan baru tersebut sebagai Kampung Kacang Putih dan ia terus kekal hingga sekarang.

Sesuai dengan peredaran masa, perniagaan kacang putih di Kampung Kacang Putih terus berkembang maju dengan sekurang-kurangnya 150 orang daripada 40 keluarga yang menetap di sini terbabit dalam industri tersebut. Jika pada 30 tahun lalu, kebanyakan pengusaha pada masa itu menjual kacang putih dengan berbasikal dan berjalan kaki saja, kini kebanyakan mereka memasarkan produk berkenan dengan motosikal dan van. Malah, produk kacang putih kini bukan saja di jual di kaki lima namun sudah mendapat tempat di pasaran antarabangsa dan dieksport ke luar negara seperti Australia, Thailand, Jepun, Thailand dan Taiwan.

Oleh itu, ketika kita mengunjah kacang putih yang enak, elok kita ambil iktibar daripada kegigihan penduduk Kampung Kacang Putih yang mampu bangkit kembali daripada peristiwa luka kehilangan keluarga untuk meneruskan perusahaan produk kacang putih yang diwarisi. Sumber : S. Sathish Kumar, 25, The Star

 

sathis kumar